Monday, November 4, 2013

Salam Perkenalan dari Saya, Normila Muhamad

Teks: Normila Muhamad
Foto: Normila Muhamad
 
Bismillahirrahmanirrahim. Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Selamat berkenalan buat semua yang belum mengenali saya. Saya perkenalkan diri saya. Nama saya Normila Muhamad. Seorang isteri kepada lelaki hebat abad ini, Shafie Hanan. Mama kepada dua orang puteri yang bijak dan keletah berusia masing-masing 6 dan 5 tahun. Merupakan anak jati Felda Semenchu, Kota Tinggi, Johor. Suami pula berasal dari Bandar Baru Bangi tapi punya kampung halaman di Gemencheh (sebelah ibu) dan Bagan Datoh (sebelah ayah). 


Tidak terlintas di fikiran saya yang saya akan menulis di laman ini. Walaupun hanya kebetulan tapi saya pasti Allah telah mengatur sesuatu untuk saya. Saya teringat kata-kata seorang guru yang saya hormati, “Kebetulan hanya ada pada sisi manusia tapi pada Allah semuanya dalam Qada’ dan QadarNya. Semuanya sudah ditentukan”

Ini merupakan blog kedua saya. Blog yang pertama www.mamanurins.blogspot.com saya fokuskan untuk catatan santai dan lebih kepada perkongsian, pengalaman saya dan keluarga dengan vitamin-vitamin Shaklee. Bagi yang tidak tahu, saya merupakan pengedar sah Shaklee dan terlibat dalam perniagaan MLM ini secara serius selama setahun.

Alhamdulillah.

Saya bersekolah di Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru, Johor ketika berada di tingkatan 4 dan 5 iaitu pada tahun 1996-1997. Sejujurnya saya tidak pernah meminati subjek perakaunan ketika sekolah dulu. Malah saya dikategorikan sebagai pelajar berisiko tinggi (hampir gagal) dalam subjek ini ketika SPM. Guru saya, Cikgu Kusaini atau lebih dikenali dengan panggilan Bapak pernah memanggil saya untuk ujian dan saya disuruh membaca surah Al-Fatihah sebanyak tiga (3) kali kerana tidak dapat menjawab soalan yang diberinya. Saya dilabelkan sebagai pelajar yang lemah dan perlu diberi perhatian dalam subjek ini.

Entah bagaimana, apabila saya dilabelkan sebegitu rupa, saya mendapat perhatian yang lebih. Saya lebih tekun belajar dan mula membina minat sedikit demi sedikit. Benarlah kata pujangga, tak kenal maka tak cinta. Berguru dengan pelajar-pelajar cina yang bijak pandai, lama kelamaan timbul juga minat dan saya sedikit mahir berbanding sebelumnya.

Apabila keputusan SPM diumumkan, saya mendapat keputusan yang di luar jangkaan. Pangkat 1 beragregat 12. Bukanlah keputusan terhebat di sekolah itu memandangkan sekolah itu berprestasi tinggi, tetapi ianya merupakan rekod terbaik saya. Keputusan subjek Prinsip Akaun saya ialah C3. Agak hampa kerana tidak mendapat A, tapi saya bersyukur ia tidaklah seteruk mana.

Saya terpilih mengikuti kursus Matrikulasi Perakaunan dan Pengurusan di bawah Universiti Putra Malaysia pada tahun 1998 selama setahun. Seterusnya melanjutkan pelajaran di universiti yang sama untuk Bacelor Perakaunan

selama tiga tahun setengah. Akhirnya, bergraduasi pada hujung tahun 2002. Perjalanan hidup di kampus sangat indah kerana di situlah saya mengenal erti persahabatan dan cinta sejati. Suami saya merupakan rakan satu kursus dan akhirnya dari sahabat bertukar menjadi suami.

Takdir Allah, saya sudah sinonim dengan bidang perakaunan. Sejak sekolah menengah, matrikulasi, ijazah dan sekarang sudah bekerja lebih dari 10 tahun dalam bidang yang sama iaitu perakaunan tetapi berlainan industri. Sebenarnya minat boleh dipupuk jika kita merelakan diri untuk sentiasa belajar dan ikhlas dalam bidang yang diceburi.

Bermula dengan industri penyelenggaraan dan pembersihan, saya berpindah ke industri Food and Beverage. Pernah bekerja di syarikat ‘aviation’ dan marin. Terkini, saya bekerja dia syarikat milik warga Kanada dan Pakistan berasaskan ‘Shared Service Outsourcing’, telekomunikasi dan pembangunan perisian.

Begitulah serba sedikit latar belakang saya. Di entri akan datang, saya akan menyambung tentang pengalaman saya pula.