Tuesday, December 17, 2013

Dunia Anak-anakku

Syukur Alhamdulillah. Nurin semakin pulih. Saat ini dia sedang bermain dengan adiknya Alya di bilik mereka. Mulanya tadi mereka buat bising di SOHO mama. Saya membebel dan mengingatkan kembali kepada mereka syarat-syarat untuk tidak ke pusat jagaan.

Pusat jagaan yang saya maksudkan ialah tadika yang mereka pergi iaitu Tadika Restu Taman Putra Perdana, Puchong. Sangat puas hati dengan perkhidmatan mereka. Sebelah pagi 8:30 hingga 12, mereka belajar pelbagai matapelajaran dan sebelah petangnya ada aktiviti petang. Mereka tidur seketika selepas makan tengahari. Nurin dan Alya sudah fasih membaca dalam masa 2 bulan. Masha Allah. Guru-guru mereka sangat terlatih. Saya sangat menggalakkan kawan-kawan saya menghantar anak mereka di sini.Musim cuti sekolah mereka, operasi mereka berjalan seperti biasa. Aktiviti petang mereka sangat menarik. Saya pun terjebak sama.

Alatan untuk mengecop

Nurin Alya Fatihah sangat teruja

Penuh gaya


Aktiviti menampal kekacang

Nurin Hidayatullah dan rakan-rakan

Kekacang yang sudah siap ditampal

Lebihan kacang ditanam oleh Nurin & Alya-Sudah tumbuh

Berbalik tentang anak-anak, syarat yang saya kenakan mudah sahaja. Kalau saya masuk SOHO, tolong jangan ganggu. Jangan sentuh barang-barang kerja saya termasuk komputer, alat tulis dan buku-buku. Banyak lagi syarat sebenarnya. Pantang saya kalau saya mengarang di blog, mereka datang duduk sebelah dan buat bising. Oh! Saya tidak biasa dengan situasi ini begini. Sudah terbiasa kerja di pejabat tanpa anak-anak. Saya perlukan masa.

Demam Nurin kebah. Selepas mandi awal pagi tadi, dia sudah boleh makan biskut cecah air teh O suam sendiri. Kemudian dia baring dan tengok kartun kegemarannya. Selepas saya selesai masak, saya suapkan dia bubur. Dia rehat kembali. Hari ini saya langsung tidak memberinya sebarang ubat atau vitamin lagi. Hanya air masak sepanjang hari. Nampak dia berpeluh-peluh. Sekarang dia sedang tidur.

Alya lebih aktif berbanding kakaknya. Dia jadi bosan tanpa kakaknya di sisi untuk bermain.Cepat sihat Nurin, kami rindukan Nurin yang aktif juga!

Kunjungi blog saya berkenaan vitamin dan kesihatan. Harga istimewa untuk pelanggan saya.

http://www.mamanurins.blogspot.com/

Salam sayang.




Monday, December 16, 2013

Untungnya Bekerja dari Rumah: Anak Demam

Alhamdulillah...masih bernafas untuk hari seterusnya. Ujian Allah bila puteri sulung Nurin Hidayatullah demam malam tadi. Suhu badannya mencecah 39.9. Saya jadi panik seketika sebab sudah agak lama Nurin tidak demam. Biasalah budak nak membesar kan. Kita yang dah besar ni pun demam juga.

Bila demam begini, Nurin mahu saya menemani dia tidur. Bahang juga badannya walaupun penghawa dingin dibuka. Hanya suhu sederhana. Bergilir-gilir menyuapkan dia minum air dengan mengelapnya dengan kain basah. Sejak kecil, saya suka mengurutnya. Bagi dia tenang dan rehat. Usai mengurut dia kata tak sedap perut. Belum sempat nak buat apa-apa dia sudah memuntahkan isi perutnya di atas katil . Biasalah tu.

Adiknya Alya tidur di sebelah saya dengan lena. Langsung tidak terganggu dengan kakaknya yang muntah-muntah. Syukurlah Alya sihat. Perkara begini sudah menjadi lumrah dan asam garam seorang ibu. Sekian lama bila demam anak-anak saya diberi ubat doktor seperti paracetamol, tapi kali ini saya tekad untuk tidak memberi kepadanya. Alhamdulillah, dia faham. Saya berikannya vitamin NutriFeron Shaklee.
 
Aktiviti SOHO saya terganggu sedikit hari ini, tapi tidak mengapalah, sekurang-kurangnya Nurin ada di sisi saya ketika dia demam. Saya harus memaksimakan masa saya bersama dia. Dahulu, bila dia demam, kami suami isteri membawanya ke klinik kemudian kami tinggal dia di pusat jagaan. Sayunya hati. Suami pujuk saya, Nurin kuat. Biar dia belajar berdikari dan kuat semangat. 
 
Sekarang saya lega. Tidak perlu bersengkang mata di pejabat kerana menahan mengantuk sementelah semalaman tidur tidak lena menjaga anak yang sakit.  Syukur lagi pada yang Esa atas peluang ini.
 
Selepas pulang dari klinik, kami sarapan bersama di luar. Nurin hanya menjamah sedikit makanan. Pulang ke rumah saya uruskan kain baju untuk disidai dan menyediakan makanan tengahari. Jadi menu untuk orang demam hari ini ialah Bubur Nasi bersama Sup Ayam. 
 
Bubur Nasi bersama Sup Ayam
 
Alhamdulillah. Semangkuk bubur ini dia habiskan. 
 
Doakan Nurin sihat ya.

Kunjungi blog saya berkenaan vitamin dan kesihatan. Harga istimewa untuk pelanggan saya.

http://www.mamanurins.blogspot.com/

Salam sayang.
 

Friday, December 13, 2013

Jawatan Idaman Saya: WAHM

Teks: Normila Muhamad
Foto: Carian Google

Saya suka betul keadaan begini. Hujan. Nyaman sungguh. Idea bertalu-talu hadir. Alhamdulillah. Lokasi yang paling menarik adalah di rumah sendiri.

Untuk pengetahuan kalian, para pembaca budiman, sebenarnya sudah dua minggu saya bekerja dari rumah. Sejak 1 Disember 2013, saya sudah bergelar WAHM. Menjalankan perniagaan MLM Shaklee secara sampingan setahun lalu, memberi saya ruang dan peluang untuk mempelopori dunia bekerja di rumah bersama anak-anak pula. Memang inilah yang saya impikan. Ianya bukan sahaja impian saya, malah ia impian anak-anak yang sedang membesar.



Soalan begini kerapkali diajukan.

Mengapa perlu bekerja dari rumah sedangkan pendapatan di tempat kerja saya agak lumayan?

Jawapan saya mudah. Saya mahu menjawat jawatan hakiki saya sebagai seorang suri rumah. Pernah dengar kan kata pujangga orang zaman dahulu kala, sehebat mana seorang wanita itu, pasti akan ke dapur juga. Ia memang kenyataan. Cuma zaman sekarang, kami ke dapur dengan gadget tambahan.

Seminggu pertama setelah bergelar WAHM, saya dirundung 'culture shock' atau bahasa melayunya kejutan budaya. Apabila impian menjadi kenyataan, saya masih lagi bermimpi. Sukar untuk menyesuaikan diri dengan rutin baru. Oleh kerana masa bekerja dulu, saya lah pekerja paling sibuk di dunia maka, tugas-tugas di rumah hanya tangkap muat sahaja. Maka, bila tinggal di rumah, semua cacat cela memang nampak jelas di mata. Minggu pertama, saya hanya laksanakan kerja-kerja rumah seperti mengemas, vakum, mengemop, mendobi dan seangkatan dengannya. Terlalu banyak hendak di senaraikan!

Hari pertama saya WAHM, saya membeli belah di Pasar Borong Selangor dan Giant. Saya membeli stok untuk 2 minggu: bahan mentah dan bahan kering. Peti ais saya penuhkan. Malas hendak keluar hari-hari ke kedai untuk membeli. Bukan sahaja harganya murah berbanding kedai runcit, ia juga sangat menjimatkan masa. Bila stok membukit, tugas seterusnya ialah memasak hari-hari untuk keluarga. Jadual saya penuh di dapur sahaja. Sarapan, makan tengahari, minum petang dan makan malam. Masha Allah. Penat tapi teruja!


 Bukan sahaja saya yang mengalami kejutan budaya, anak-anak juga. Musim cuti sekolah ini, mereka sangat bebas buat apa sahaja yang mereka mahu. Berbeza rutin harian berbanding ketika mereka ditinggalkan di pusat transit. Di rumah, masa saya hampir sepenuhnya di dapur. Mereka rajin juga ikut serta 'membantu' saya. Kerja 5 minit boleh jadi setengah jam bersama mereka. Kami bahagia.

Saya sungguh menghargai suri rumah sementelah sudah merasa kesibukan mereka menjaga rumahtangga. Sememangnya anda semua hebat dan memikat! Saya pasti seharian menguruskan rumahtangga 24 jam sehari 7 hari seminggu, anda sememangnya memerlukan nutrisi yang mencukupi. Jangan gusar, saya ada solusi untuk anda semua, in shaa Allah.

Kunjungi blog saya berkenaan vitamin dan kesihatan. Harga istimewa untuk pelanggan saya.

http://www.mamanurins.blogspot.com/

Salam sayang.

Tuesday, December 10, 2013

Tips Mudah Akaun Bisnes Kecil

Teks dan Foto: Normila Muhamad
 
Ramai orang pandai berbisnes, tapi tidak ramai yang tahu cerita di sebalik tabir sesuatu perniagaan itu. 10 tahun menceburkan diri dalam bidang perakaunan dan kewangan ini, acapkali saya dipelawa oleh saudara mara dan rakan-rakan untuk  membantu mereka membuat akaun perniagaan mereka. Kebanyakan mereka 'one man show'. Tidak punya pekerja, atau punya pekerja operasi tapi bukan yang membuat akaun.

Oleh kerana, saya dan suami dari bidang yang sama, sesekali kami ambil juga tawaran itu untuk membantu mereka menyiapkan akaun. Saya fokus kepada perniagaan Sdn Bhd kerana pengalaman saya lebih kepada 'Small Medium Enterprise', suami pula beliau pernah bekerja dengan firma audit lebih 5 tahun. Makanya, pengalaman dia lebih luas: milikan tunggal, perkongsian, Sdn Bhd dan juga firma undang-undang. 
 
Berbalik kepada tawaran membuat akaun tadi, bila ditanya usia perniagaan, anda yang sudah melebih 5 tahun berniaga tetapi tidak pernah ada akaun. Hampir 100 peratus mahukan akaun disiapkan segera kerana mereka memerlukan akaun itu untuk membuat pinjaman!
 
Adakah akaun ini diperlukan hanya ketika ingin membuat pinjaman? Bukankah akaun itu rutin yang perlu dibuat untuk setiap perniagaan. Kasihannya bangsa saya.
 
Atas kesedaran ini, saya sangat berbesar hati untuk berkongsi beberapa tips mudah untuk akaun bisnes kecil. Percayalah, semua yang berbisnes, pasti boleh melakukannya sendiri. Mari kita semak satu persatu.

Rekod setiap urusniaga

Jangan abaikan ini! Rekodlah setiap urusniaga walaupun hanya seringgit. Sediakan buku log yang berkulit tebal dan bergaris supaya anda mudah merekodkannya. Bawalah ia kemana sahaja anda pergi. Anda pasti menggunakannya sebagai rujukan bila diperlukan nanti. Ketahui cara merekod dalam entri akan datang. Kita boleh belajar pengetahuan asas perkaunan.

Inbois, resit, ‘delivery order’dan pemfailan

Begitu juga dengan dokumen di atas. Sediakan resit untuk jualan anda. Kadangkala, pelanggan tidak meminta, tapi anda perlu juga tulis untuk rekod anda. Jika anda buat belian, minta inbois dan resit dari pembekal, biarpun jumlahnya sedikit. Fail kan inbois/resit anda mengikut kategori seperti ini, jualan, belian, bil utiliti, kos pos, kos pembungkusan dan gaji sekiranya anda punya pekerja. Fail yang sistematik menjimatkan banyak masa sekiranya anda perlu mencari dokumen. Resit yang tidak teratur menyukarkan pencarian malah boleh mengundang kerugian. 
 
Sampel Unjuran Untung Rugi

Entiti Berasingan

Pastikan akaun bank dan akaun peribadi di asingkan. Ia amatlah mustahak supaya perbelanjaan peribadi tidak menggunakan wang perniagaan kita. Biarpun sekecil-kecil perbelanjaan. Jika anda banyak menerima jualan tunai, sediakan juga dompet yang berasingan. Satu untuk peribadi, dan satu lagi untuk perniagaan. Ia amatlah penting. Kadangkala kita tidak tahu kemana perginya wang jualan, sedangkan kita sudah menggunakannya untuk membeli susu anak.

Jadikan bank kawan karib anda

Anda mungkin senang hati mempunyai tunai yang banyak dalam simpanan. Ia sangat bahaya! Bukan sahaja anda terdedah kepada kecurian ia juga tidak praktikal untuk perniaagaan. Jika jualan tunai anda sentiasa banyak, pastikan anda memasukkan wang ke bank setiap hari. Ini membolehkan transaksi bank anda menunjukkan penyata yang aktif. Anda mungkin memerlukannya untuk membuat pinjaman dengan pihak bank untuk membesarkan perniaagaan anda. Jika jualan tunai kurang banyak, mungkin anda perlu lakukannya setiap tiga hari atau seminggu sekali. Cadangan saya, amalkan setiap hari.

Banyak lagi tips yang hendak saya kongsikan. Kita jumpa pada lembaran akan datang.

Friday, December 6, 2013

Langkah Demi Langkah Urus Akaun

Teks: Normila Muhamad
Foto: Google

Saya masih ingat di universiti dulu pelbagai subjek perakaunan yang saya ambil. Terus terang, bila saya bekerja, saya tak rasa ilmu yang saya belajar dulu banyak digunakan dalam kerjaya saya. Sebenarnya saya salah. Banyak gunanya, tetapi ketika belajar dulu, ilmu itu lebih kepada teori dan tidak kepada praktikalnya. Alangkah bagusnya jika pensyarah saya dulu mengaplikasikan teori itu dalam situasi industri sebenar. Percaya atau tidak, saya bermula dengan kosong walaupun saya ada ijazah perakaunan. Perlahan-lahan saya imbas kembali apa yang diajarkan walaupun kebanyakannya tinggal teori sahaja. Salah saya kerana tidak belajar bersungguh-sungguh.

Perasan atau tidak kebanyakan kita yang bergelar usahawan dari rumah banyak menyimpan maklumat perniagaan kita sekadar di kepala sahaja. Kos dan jualan sekadar agak-agak. Mungkin ada yang ada simpan secara lengkap melalui perisian perakaunan yang khas atau dengan ‘Microsoft Excel’ tapi berapa ramai sangat yang buat begini. Bukankah simpan kira itu penting?

Mengapa ini terjadi

1. Tiada ilmu mengenai simpan kira
2. Mengambil ringan kepentingan simpan kira
3. Tiada budget untuk membeli perisian (gunakan Microsoft Excel sudah memadai)

Dan banyak sebab lain

Tahukah anda akibat tidak membuat simpan kira?

Jika kita tidak mempunyai sistem, matlamat utama kita mudah dilupakan. Malah kita tidak tahu yang kita sedang mengalami kerugian.

Jika kita membuat simpan kira, ia akan membantu kita untuk membuat dan menyimpan matlamat jangka panjang. Bukan itu sahaja ia juga membolehkan kita membuat unjuran kewangan dan mengawal aliran tunai dengan baik. 

http://www.excessre.com/premium-accounting

Mari saya kongsikan sedikit sebanyak langkah demi langkah untuk mengurus akaun.

Langkah Pertama : Penyimpanan Resit Anda


Pastikan setiap pembelian dan jualan disertai dengan resit iaitu dokumen sokongan untuk setiap transaksi. Ia mestilah mengandungi jumlah, tarikh, dan maklumat lain yang berkaitan mengenai transaksi itu. Seeloknya dokumen ini disusun mengikut jenisnya dan difailkan dengan sistematik untuk memudahkan langkah yang seterusnya.

Langkah Dua: Merekod ke dalam lejar.

Lejar yang lengkap merupakan ringkasan kepada jualan dan perbelanjaan.Bagaimana untuk merekodnya?
Rekod kesemua resit jualan dan pembelian secara tetap . Ia boleh dilakukan setiap hari, sekali seminggu, atau sekurang-kurangnya sebulan sekali - anda perlu memindahkan jumlah amaun resit anda untuk jualan dan pembelian ke dalam lejar anda. Ini dipanggil ‘posting’. Berapa kerap anda melakukan ini bergantung kepada berapa banyak jualan dan perbelanjaan perniagaan anda.

Jadual ‘posting’ anda bergantung kepada jumlah jualan anda. Secara umumnya, lebih banyak jualan yang anda lakukan, lebih kerap anda perlu pos kepada lejar anda. Jika anda menjual kek cawan, sebagai contoh, yang melakukan berpuluh-puluh jualan berjumlah beratus-ratus ringgit setiap hari, maka sewajarnya anda pos lejar setiap hari. Dengan itu jumlah jualan , adalah penting untuk melihat apa yang berlaku setiap hari. Anda boleh perincikan transaksi itu mengikut kemahuan anda.

Satu perniagaan yang lebih perlahan atau hanya beberapa transaksi yang besar setiap bulan, seperti membangunkan laman web atau perkhidmatan konsultasi mungkin lebih baik jika direkodkan secara mingguan atau bulanan.

Sekiranya transaksi terlalu banyak ada baiknya anda beli perisian perakaunan. Untuk WAHM seperti kita yang memang berkira-kira untuk membeli perisian ini, kita gunakan sahaja Microsoft Excel untuk merekod. Ia juga tak kurang hebatnya.
.
Langkah Tiga: Mewujudkan Laporan Kewangan Asas

Laporan kewangan adalah penting kerana ia menunjukkan maklumat kewangan tentang perniagaan anda.

Fikirkan seperti ini. Jika lejar pendapatan menunjukkan perniagaan anda mempunyai banyak jualan pada tahun ini, anda tidak akan tahu keuntungan perniagaan tanpa membandingkan pendapatan dan perbelanjaan anda. Malah jika anda membandingkan jumlah pendapatan dan perbelanjaan, anda tidak akan tahu samada pelanggan membayar hutang anda tepat pada masa . Ini untuk memastikan bahawa anda mempunyai aliran tunai yang mencukupi dalam perniagaan anda untuk membayar liabiliti seperti bil-bil pada masanya.

Itulah sebabnya anda perlu laporan kewangan untuk menggabungkan data dari lejar anda dan dipindahkan ke dalam bentuk yang menunjukkan gambaran yang lebih besar dan menyeluruh tentang perniagaan anda. Laporan utama yang perlu dilakukan setiap bulan ialah analisis aliran tunai, unjuran untung rugi dan kunci kira-kira .

Kita akan berbincang dengan lebih terperinci pada masa akan datang.

Thursday, December 5, 2013

Bersusah-Susah Dahulu

Teks: Normila Muhamad
Foto: Google
 
Seronokkah bekerja dalam bidang perakaunan ini?

Seronok sangat kalau kita minat. Walaupun di luar sana mereka sering mengaitkan akaun dengan sesuatu yang sukar dan payah untuk diurus. Anggaplah itu kata-kata seorang yang tidak bijak. Akaun sebenarnya adalah untuk memudahkan lagi urusan harian dan perekodan untuk sesebuah perniaagaan. Tanpa akaun maka pincanglah sesebuah perniagaan itu, kerana melalui akaun kita boleh melihat prestasi kewangan syarikat, untung atau rugi. Malah bukan sekadar itu, melaluinya kita boleh membuat unjuran dan perancangan bisnes untuk jangka masa panjang.

Kerjaya saya bermula apabila saya habis belajar dan mendapat tawaran bekerja di sebuah syarikat penyelenggaraan. Untuk permulaan jawatan saya hanyalah sebagai pekerja sementara untuk merekod data. Mudah sahaja, hanya perlu melihat dokumen dan rekod dalam sistem perakaunan. Selama sebulan, tugas saya hampir selesai. Tanpa diduga ‘Eksekutif Gaji’ yang bersama-sama bekerja dengan saya waktu itu meletakkan jawatan secara mendadak, maka tugasnya tergendala begitu sahaja. Memandangkan jawatan itu sangat penting kerana kami mempunyai lebih 200 pekerja, maka saya telah dilantik untuk mengambil alih.

Di situlah bermulanya kerjaya saya. Walaupun tidak lama di situ, seingat saya hanya beberapa bulan, tapi banyak juga yang saya belajar. Saya tidak dapat bertahan lama di situ kerana ‘work pace’ yang sangat pantas dan dengan ‘date line’ yang ketat. Maklumlah, sebagai pekerja yang sangat baru dan tanpa pengalaman adalah sukar untuk saya menyesuaikan diri.
http://www.ourkids.net/blog/multitasking-undermines-deep-and-sustained-learning-research-shows-18072/
Kemudian, saya mendapat tawaran bekerja di satu syarikat baru yang berasaskan pengilangan dan makanan segera. Sedar atau tidak di sinilah saya belajar untuk membuat akaun secara lengkap atau bahasa yang lebih tepat “ full set of account”. Sebagai syarikat baru, mereka belum pernah ada pekerja akaun yang membuat akaun syarikat, maka saya adalah orang pertama yang perlu menubuhkan jabatan perakaunan. Sekali lagi saya dicabar dengan kekurangan pengalaman. Alhamdulillah, pengarah syarikat memberi saya latihan dengan mengambil pekerja firma audit untuk melatih saya. Saya sangat bersyukur, dengan latihan yang diberikan, saya berjaya memahirkan diri dengan akaun sehingga ke tahap ini. Walaupun saya tertekan bekerja di situ kerana kerja yang banyak, waktu yang panjang dan terpaksa melakukan pelbagai tugas dalam satu-satu masa tapi saya sangat berterima kasih atas pengalaman itu. Pengalaman inilah yang membuatkan saya mahir dan matang dalam mengharungi karier saya selama lebih 10 tahun.

Monday, November 4, 2013

Salam Perkenalan dari Saya, Normila Muhamad

Teks: Normila Muhamad
Foto: Normila Muhamad
 
Bismillahirrahmanirrahim. Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Selamat berkenalan buat semua yang belum mengenali saya. Saya perkenalkan diri saya. Nama saya Normila Muhamad. Seorang isteri kepada lelaki hebat abad ini, Shafie Hanan. Mama kepada dua orang puteri yang bijak dan keletah berusia masing-masing 6 dan 5 tahun. Merupakan anak jati Felda Semenchu, Kota Tinggi, Johor. Suami pula berasal dari Bandar Baru Bangi tapi punya kampung halaman di Gemencheh (sebelah ibu) dan Bagan Datoh (sebelah ayah). 


Tidak terlintas di fikiran saya yang saya akan menulis di laman ini. Walaupun hanya kebetulan tapi saya pasti Allah telah mengatur sesuatu untuk saya. Saya teringat kata-kata seorang guru yang saya hormati, “Kebetulan hanya ada pada sisi manusia tapi pada Allah semuanya dalam Qada’ dan QadarNya. Semuanya sudah ditentukan”

Ini merupakan blog kedua saya. Blog yang pertama www.mamanurins.blogspot.com saya fokuskan untuk catatan santai dan lebih kepada perkongsian, pengalaman saya dan keluarga dengan vitamin-vitamin Shaklee. Bagi yang tidak tahu, saya merupakan pengedar sah Shaklee dan terlibat dalam perniagaan MLM ini secara serius selama setahun.

Alhamdulillah.

Saya bersekolah di Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru, Johor ketika berada di tingkatan 4 dan 5 iaitu pada tahun 1996-1997. Sejujurnya saya tidak pernah meminati subjek perakaunan ketika sekolah dulu. Malah saya dikategorikan sebagai pelajar berisiko tinggi (hampir gagal) dalam subjek ini ketika SPM. Guru saya, Cikgu Kusaini atau lebih dikenali dengan panggilan Bapak pernah memanggil saya untuk ujian dan saya disuruh membaca surah Al-Fatihah sebanyak tiga (3) kali kerana tidak dapat menjawab soalan yang diberinya. Saya dilabelkan sebagai pelajar yang lemah dan perlu diberi perhatian dalam subjek ini.

Entah bagaimana, apabila saya dilabelkan sebegitu rupa, saya mendapat perhatian yang lebih. Saya lebih tekun belajar dan mula membina minat sedikit demi sedikit. Benarlah kata pujangga, tak kenal maka tak cinta. Berguru dengan pelajar-pelajar cina yang bijak pandai, lama kelamaan timbul juga minat dan saya sedikit mahir berbanding sebelumnya.

Apabila keputusan SPM diumumkan, saya mendapat keputusan yang di luar jangkaan. Pangkat 1 beragregat 12. Bukanlah keputusan terhebat di sekolah itu memandangkan sekolah itu berprestasi tinggi, tetapi ianya merupakan rekod terbaik saya. Keputusan subjek Prinsip Akaun saya ialah C3. Agak hampa kerana tidak mendapat A, tapi saya bersyukur ia tidaklah seteruk mana.

Saya terpilih mengikuti kursus Matrikulasi Perakaunan dan Pengurusan di bawah Universiti Putra Malaysia pada tahun 1998 selama setahun. Seterusnya melanjutkan pelajaran di universiti yang sama untuk Bacelor Perakaunan

selama tiga tahun setengah. Akhirnya, bergraduasi pada hujung tahun 2002. Perjalanan hidup di kampus sangat indah kerana di situlah saya mengenal erti persahabatan dan cinta sejati. Suami saya merupakan rakan satu kursus dan akhirnya dari sahabat bertukar menjadi suami.

Takdir Allah, saya sudah sinonim dengan bidang perakaunan. Sejak sekolah menengah, matrikulasi, ijazah dan sekarang sudah bekerja lebih dari 10 tahun dalam bidang yang sama iaitu perakaunan tetapi berlainan industri. Sebenarnya minat boleh dipupuk jika kita merelakan diri untuk sentiasa belajar dan ikhlas dalam bidang yang diceburi.

Bermula dengan industri penyelenggaraan dan pembersihan, saya berpindah ke industri Food and Beverage. Pernah bekerja di syarikat ‘aviation’ dan marin. Terkini, saya bekerja dia syarikat milik warga Kanada dan Pakistan berasaskan ‘Shared Service Outsourcing’, telekomunikasi dan pembangunan perisian.

Begitulah serba sedikit latar belakang saya. Di entri akan datang, saya akan menyambung tentang pengalaman saya pula.